
“ABANG pergi dulu, ya sayang.” Abang Idlan menghulurkan tangannya kepadaku. Aku sambut lalu kucium tangan itu. Selepas itu, dia mencium kedua-dua belah pipiku.
Kami sama-sama melangkah ke pintu. Aksi tadi tak boleh dilakukan di depan pintu! Sebabnya? Tak nak kantoilah! Takkan itupun tak tahu? Aku membetul-betulkan rambut palsuku yang sedikit senget. Sambil itu aku berdehem-dehem. Nak test suara dulu. Nanti kalau terkeluar suara perempuan, terkejut pulak mak cik sebelah rumah tu.
“Nanti jangan lupa kunci pintu. Kalau nak keluar, bagitahu abang dulu,” pesan Abang Idlan. Hmm... ayat klise. Jangan lupa kunci pintu. Tak cakap pun aku tahu!
“Yalah. Abang balik lambat ke nanti?”
“Tak tahu lagi. Rasa-rasanya dah bertimbun kerja abang di ofis tu. Apa-apa nanti abang call,” jawab Abang Idlan sambil membuka pintu kereta. Beg kerjanya dicampak ke tempat duduk penumpang.
“Hmm... Nanti Dani nak keluar sekejap.” Aku beritahunya.
Dia yang baru hendak masuk ke dalam kereta terkebil-kebil memandangku. Mungkin berasa pelik apabila aku membahasakan diriku Dani. Tetapi, dia sendiri yang berpesan agar aku berlakon di hadapan orang lain. Mak cik sebelah tengah siram pokok bunga. Awal sungguh. Rajin mak cik sebelah tu.
“Dani nak ke mana?” soal Abang Idlan setelah sekian lama mendiamkan diri. Mungkin dia sudah sedar akan kehadiran mak cik sebelah.
“Dani nak beli barang. Tak ada benda nak makan. Takkan abang nak suruh Dani makan angin sepanjang hari kut? Kembung nanti siapa nak tanggung?”
“Oh, ya tak ya juga! Abang terlupa.” Dia segera mengeluarkan dompet dari kocek belakang seluarnya. 4 keping not lima puluh ringgit dihulurkan kepadaku.
“Thanks.” Aku sumbat kepingan duit tersebut ke dalam kocek seluar.
“Nanti Dani naik teksilah ya. Bila abang ada masa, abang suruh orang hantar kereta ayah ke sini. Senang Dani nak ke mana-mana. Abang pergi dulu.” Abang Idlan masuk ke dalam keretanya. Setelah enjin kereta dihidupkan, pintu pagar automatik terbuka. Kereta Abang Idlan meluncur pergi dengan laju. Mungkin dia sudah lambat.
Aku baru nak melangkah masuk ke dalam rumah apabila mak cik sebelah menegurku dari sebalik tembok, “Dani dah sarapan?”
“Dah, mak cik.” Aku menjawab dengan senyuman. Terasa hendak ketawa melihat mak cik itu terginjat-ginjat di sebalik tembok. Maklumlah, tembok itu boleh tahan tingginya. Mak cik sebelah pulak rendah sahaja orangnya. Tak seperti aku, aku tinggi. Senang nak menjenguk ke sebelah. Ikut baka arwah ayahlah katakan.
“Mak cik baru ingat nak ajak Dani sarapan sekali. Boleh berkenalan. Semalam, tak sempat.”
Hah? Nak berkenalan? Mampus aku! Kalau dia tanya soalan pelik-pelik, apa aku nak jawab?
“Tak apalah, mak cik. Esok lusa masih ada. Lagipun, sekejap lagi saya nak keluar beli barang rumah,” balasku.
“Eh? Dani nak keluar juga? Kebetulanlah... mak cik pun nak keluar beli barang dalam pukul sepuluh setengah nanti. Kita pergi sekalilah. Naik kereta mak cik. Tak payahlah Dani susah-susah ambil teksi.”
Ramah dan baik hati sungguh mak cik sebelah ni. Bagus juga jika aku mengikut mak cik ni. Tak payah nak tunggu-tunggu teksi. Tetapi, aku seganlah. Macam mana ni?
“Macam mana? Marni pun ada sekali. Dia cuti hari ni.” Mak cik sebelah masih belum berputus asa.
Pulak dah! Mak cik ni nampak macam nak perkenalkan anak dia kepada aku sahaja. Dah teringin sangat nak bermenantu ke mak cik? Akhirnya, aku mengangguk dengan senyuman kelat. “Okey. Nanti mak cik nak pergi, bagitahu saya ya?”
BARU aku tahu. Rupa-rupanya nama mak cik sebelah tu ialah Salwa. Mak Cik Salwa kata, kalau nak glamor, panggil sahaja Mak Cik Wawa. Ha ha ha... Sakit perut aku ketawa. Tetapi, ketawa dalam hati sahajalah. Mak cik Wawa ada di sebelah, mana boleh gelak kuat-kuat. Bukan main lagi mak cik zaman sekarang ya?
“Dani dah kerja?”
Pertanyaan Mak Cik Wawa buat aku tak jadi mengambil bungkusan Oreo yang tersusun elok di rak. Aku berpaling ke arah Mak Cik Wawa. “Belum, mak cik. Saya tengah tunggu mereka panggil kerja. Tak tahulah dapat ke tak. Kalau dapat kerja yang elok, saya terima saja,” jawabku jujur.
“Baguslah tu. Zaman sekarang ni, kita tak boleh memilih sangat kerja, Dani. Nanti jadi seperti Marni. Disebabkan terlalu memilih, lama jugalah dia menternak lemak di rumah. Mujurlah pak cik kamu tu bekerja. Nak harapkan gaji dia, hmm... berharaplah....” Mak Cik Wawa menjuih bibir. Marni yang berada di sebelah mencuit pinggang Mak Cik Wawa.
“Erm... Berapa umur Dani?” Mak Cik Wawa tanya lagi. Hai, dah lain macam sangat aku tengok Mak Cik Wawa ni. Nak aku tunjukkan biodata aku ke?
“24, mak cik.” Aku jawab juga.
“Hah! Elok sangatlah tu. Sebaya dengan Marni ni.” Mak Cik Wawa kelihatan teruja.
Aku pulak hanya mampu tersengih. Sah, Mak Cik Wawa ada cita-cita nak jodohkan aku dengan anak dia. Meraunglah Abang Idlan kalau dia tahu. Ha ha ha...
“Apa yang eloknya, mak cik?” Sengaja aku berpura-pura tak faham. Haih, minta simpanglah mak cik oiii... Saya ni belum pernah terfikir nak tukar jantina! Saya bersyukur sangat dilahirkan sebagai seorang perempuan.
“Yalah, Dani kan sebaya dengan Marni? Bolehlah berkawan,” balas Mak Cik Wawa dengan senyuman. Semacam sahaja aku tengok Mak Cik Wawa ni senyum.
Kalau tak sebaya tak boleh berkawan ke, mak cik? Nak sahaja aku tanya soalan tersebut tetapi, aku pendamkan sahaja. Nanti nampak sangat macam aku nakkan anak dia tu walhal aku tak teringin pun!
Aku senyum lagi. Tak tahu nak balas apa. Memang awet mudalah aku hari ni. Senyum semedang! Bersedekah pun banyak.
Aku tolak troli. Barang mana yang berkenan di hati, terus aku tarik dan campakkan ke dalam troli. Kalau boleh, aku nak cepat-cepat balik. Bersama Mak Cik Wawa dan Marni lama-lama membuatkan jantung aku berdegup laju sahaja. Dug dag dug dag. Soalan-soalan Mak Cik Wawa ni memang mampu membunuh aku pada bila-bila masa sahaja. Dibuatnya dia tanya macam-macam lagi, jenuh aku nak menjawab. Sakit otak aku mencari jawapan. Ini semua Abang Idlan punya fasallah ni! Bijak sangat suruh aku menyamar jadi sepupu lelaki dia. Apa dia ingat aku ni pakar sangat bab-bab lelaki ke? Sejak kecil ayah tak pernah ajar aku jadi tomboi apatah lagi lelaki. Manalah aku reti semua ni.
“Erm... Dani dah ada makwe ke?” Tiba-tiba Marni yang masih mengekoriku di sebelah bertanya. Lembut sahaja suaranya menampar gegendang telingaku. Meremang bulu roma oiii!!!
Aku yang tengah tolak troli terus terhenti. Tangan sahaja yang berhenti menolak tetapi, kaki aku pulak tak mengikut arahan otakku. Sesedap rasa sahaja aku tertendang roda troli. Sudahlah aku pakai selipar sahaja. Adoiii... sakit ya amat! Aku terduduk mengerang kesakitan.
“Dani okey?” Marni bertinggung di sebelah aku cuba untuk melihat keadaan ibu jariku.
“Sakittt....” Aku tengok ibu jariku yang sudah bertukar warna. Aduhhh... Aku mengetap bibir menahan sakit. Nak menangis nanti Marni hairan pulak. Lelaki kena kuat beb! Tetapi, masalahnya sekarang, aku bukan lelaki! Abang, tolong Naniii!!!
“Sakit sangat ke, Dani?” Marni kelihatan serba salah. Disebabkan soalan dia tadilah aku terlanggar roda troli tu tau!
“Tak apa, tak apa. Sikit saja ni.” Aku berpura-pura kuat. Control macolah kononnya. Piiirah!
“Ya Allah, Dani! Kenapa ni?” tanya Mak Cik Wawa yang baru datang dengan sebungkus buah epal hijau di tangan kanannya. Dia meluru ke arah kami.
Aku pantas berdiri lalu menjawab, “Tak ada apa-apa, mak cik. Saya terlanggar roda troli saja tadi. Terkejut dengan soalan Marni.”
Mak Cik Wawa pandang Marni dengan dahi berkerut-kerut. “Marni tanya apa sampai Dani terkejut?”
“Marni cuma tanya sama ada Dani dah ada makwe ke belum saja, mak. Mana ada Marni tanya soalan pelik-pelik,” jawab Marni bersungguh-sungguh.
Eh, Cik Marni! Soalan yang awak rasa tak pelik itulah buat saya rasa pelik tau! Nampak sangat macam awak nak goda saya kalau saya tak ada makwe lagi.
“Hah, Dani dah ada makwe ke?” Giliran Mak Cik Wawa pulak bertanyakan soalan yang sama.
Aduhhh... pening kepala akulah macam ni! Anak dengan emak sama sahaja! Takkan kedua-duanya dah berkenan dekat aku kut? Baru sahaja kenal semalam. Haru, haru!
“Dah ada ke belum?” Sekali lagi Mak Cik Wawa tanya. Mungkin dia tak puas hati apabila aku mendiamkan diri.
“Belum tapi....”
Tak sempat aku nak menghabiskan ayat, Mak Cik Wawa sudah mencelah, “Baguslah kalau macam tu!”
Mak Cik Wawa, apa yang bagusnya? Soalan tersebut hanya terbit di hatiku. Tak berani nak tanya. Nanti dia tanya benda lain pulak. Lagi payah! Bukannya aku tak tahu. Dia nak kenen aku dengan anak dia lagilah tu!
Aku menjeling ke arah Marni yang berdiri di sebelah ibunya. Tersenyum-senyum dengan lirikan manja dia tengok aku. Aku dah geli-geleman! Abang, boleh tak kalau Nani nak berhenti berlakon sekarang? Aku terasa seperti hendak menjerit kuat-kuat sehingga Abang Idlan dengar kata hatiku ini. Kalau perlu gunakan pembesar suara atau apa-apa sahaja pun aku tak kisah.
Sedang kami menolak troli ke kaunter pembayaran, tiba-tiba sahaja aku terfikir akan sesuatu. Agak-agak apabila Marni berada di depan Abang Idlan, dia melirik manja begitu tak? Kalau dia buat juga, sah! Marni ni playgirl! Macam aku. Tetapi, aku ni lebih teruk kut. Bukan setakat perasaan lelaki, perasaan perempuan pun aku main-mainkan!
“Banyak juga barang yang Dani beli ya?” tegur Mak Cik Wawa ketika kami sedang beratur di kaunter pembayaran.
“Biasalah, mak cik. Bukan ada apa pun di dalam rumah Abang Idlan tu. Dia kan sentiasa sibuk?” jawabku.
“Hmm... memang pun Lan tu selalu sibuk. Jarang lekat di rumah. Peguamlah katakan... Banyak makanan ni. Dani pandai masak ke?”
“Bolehlah sikit-sikit, mak cik. Masa ayah sakit, sayalah yang selalu masakkan untuk ayah.”
“Ohhh... mak dah tak ada? Maaf kalau mak cik banyak bertanya.”
Tahu tak apa, Mak Cik Wawa! Memang mak cik banyak soal pun.
“Mak dah meninggal 6 tahun lepas. Ayah pulak baru saja meninggal baru-baru ni. Tinggal saya seorang. Itu yang Abang Idlan ajak saya tinggal di sini dengan dia.”
“Innalillah... Maaflah ya, Dani. Mungkin soalan-soalan mak cik buat Dani sedih,” balas Mak Cik Wawa dengan nada bersalah.
“Tak apalah, mak cik. Setiap yang hidup pasti akan mati. Saya terima dengan reda.”
“Dani tak ada adik-beradik lain?”
Aik? Mak Cik Wawa ni. Ingatkan dah rasa bersalah tadi, tak mahu tanya banyak-banyak dah. Dia nak korek rahsia aku lagi rupa-rupanya.
“Tak ada. Saya anak tunggal, mak cik.”
“Alahai, kesiannya. Macam nilah... Kalau ada apa-apa, Dani datang saja cari mak cik. Kalau tiba-tiba rasa nak makan masakan mak, datanglah ke rumah. Insya-Allah, mak cik akan masakkan untuk Dani. Kalau mak cik tak ada, Marni pun boleh tolong masakkan.”
Terharu aku mendengar kata-kata Mak Cik Wawa. Walaupun dia banyak bunyi, tetapi hatinya baik. Tiba-tiba sahaja perasaan sayu bergayut di hatiku. Teringat pada mak yang seringkali membebel. Berleter pun demi kebaikanku juga. Sejak mak meninggal, barulah perangaiku berubah. Menjadi lebih mendengar kata. Apa sahaja yang ayah mahu, aku turutkan. Termasuklah bernikah dengan Abang Idlan.
Mak, Nani minta maaf. Dulu, Nani tak pernah nak dengar cakap mak. Nani degil. Selalu buat perkara yang mak tak suka. Makkk...
“Eh, Dani? Kenapa ni? Tak ada duit nak bayar ke?”
Pertanyaan Mak Cik Wawa membuatkan aku segera menyeka air mata yang hampir mengalir keluar dari tubir mata. Tiba-tiba tersensitif pulak.
“Tak ada apa-apa, mak cik. Ada ni....” Aku keluarkan dompetku lalu 2 keping not lima puluh ringgit aku tarik keluar. Aku hulurkan kepingan wang tersebut kepada juruwang yang bertugas di kaunter itu.
SEJAK Abang Idlan masuk tadi dia asyik tenung aku. Kalau nak tanya tu, tanya sahajalah. Bukan aku nak marah pun. Jeling-jeling kerling-kerling macam itulah buat aku rasa nak marah.
“Abang nak tanya apa sebenarnya ni?” Akhirnya, aku yang menyoal dia disebabkan terlampau rimas dengan renungannya itu.
“Kaki Nani tu kenapa?” Abang Idlan memuncungkan mulutnya.
“Terlanggar roda troli di JJ tadi.” Aku merebahkan tubuh ke sofa. Kakiku yang sakit itu aku letak di atas tempat letak tangan sofa.
“Sakit tak? Merah saja abang tengok.” Boleh lagi dia tanya? Kalau dah merah macam tu mestilah sakit!
“Taklah. Sedap,” balasku dengan nada sinis. Kalau dia tak faham juga, aku tak tahulah kan.
Abang Idlan datang menghampiriku. Dibelek-beleknya ibu jari kakiku. “Dah letak ubat?” soalnya sambil memandang ke arahku.
“Belum. Nani tak tahu di mana abang letak ubat.”
“Jomlah naik ke atas. Abang sapukan ubat.”
“Sekejap lagilah. Abang pergilah naik dulu. Nani nak pergi ke dapur panaskan lauk untuk abang.” Aku mengerling ke arah jam yang tergantung di dinding. Sudah hampir pukul sepuluh malam.
“Tak payah. Abang panaskan sendiri. Jom naik ke atas dulu.”
“Tak apa. Sikit saja. Tak sakit sangat pun.” Aku masih berdegil. Alah, tak matilah kalau setakat berjalan ke dapur untuk panaskan lauk buat si suami.
“Nani, cuba dengar cakap abang. Ayah dah pesan suruh abang jaga Nani elok-elok. Jom!” Abang Idlan mula bercekak pinggang.
“Itu sebab ayah pesan. Kalau ayah tak pesan, pasti abang tak kisah pun, kan?” Entah mengapa, malam ini aku seperti sengaja pulak nak mencari fasal dengan dia. Aku tak sihat ke?
“Nani! Jangan cakap macam tu lagi. Abang tak suka!” marah Abang Idlan. Lantas, dia mencempung aku.
“Eh? Apa ni, bang? Nani boleh jalan sendirilah!” Aku yang terkejut menguatkan suaraku.
“Jangan nak mengada-ngada. Kalau nak tunggu Nani jalan sendiri, alamatnya sampai ke esok pagi pun masih di sini. Abang cakap, bukan nak dengar. Degil!”
Aku menjelir lidah kepadanya. Ikut suka hati akulah. Kaki aku, bukan kaki dia!
“Nani! Abang gigit lidah tu nanti!”
Segera aku menekup mulutku. Diam tak terkata. Dengan Abang Idlan jangan dibuat main-main. Kalau dia cakap macam tu, nanti dia buat betul-betul! Aku juga yang akan tersipu malu. Dia? Dia memang tak tahu malu...




cita baru..best satu permulaan yg menarik..tapi napa nani nk m`yamar jadi lelaki ye..dia org kan dah kawin..napa nk disembunyikan dr makcik wawa..tengok kan makcik tu dah b`kenan nk jadikan dia menantu
ReplyDeletenasib baik nani xbeli kotex ke laurier..kalau x jenuh la nk mnjawab dgn mokcik wawa tuh hahaha..
ReplyDeletehik3...kelakar dani nani ni...adoi...tergelak2 pepagi ni...hehe
ReplyDeletebest... nk lagi... apela idlan rsa klo tau mcik wawa dah bekenan ngn dani.. mau cemburu gle dibuatnya... silap kena kurung si dani
ReplyDeleteHaha..mak cik wawa dah berkenan kat dani. confirm idlan tak senang duduk nanti.. haha!
ReplyDeleteadui nani...pyh nie....jenuh la...
ReplyDeleteterbaeek...
haha..hadoi rumit2...si marni pn rupenye xbpe nk malu adei....er..agknye kalau mkck tu tw dani tu snanye nani...adekah mkck tu akan terus berbuat baik kepada nani?huuu
ReplyDeleteterbaik~
ReplyDeletehaha.. kesian dani.. =)
ReplyDeleteAduii..mak cik wawa anak-beranak ni bukan main lagi sukakan Dani... handsome bebenor nampaknya bila Nani jadi Dani, ye? abislah nanti... makin sengallah jawabnya depa ni... :-)
ReplyDeletebest...........bagaimana nani a.k.a. dani nie nak mghadapi macik wawa & marni nie...sian nya....!!!!!!!! idlan...apa motif hang suruh bini menyamar mcm tu sekali...nak lg...!!!!
ReplyDeleteamboi abang..
ReplyDeleteemo lak..
geget kang..
hahahahaha...
ReplyDeletemmg la adg idlan tak malu....
hehehehe...
hany, mau lagi....!!!!!!
masak la klau makcik wawa tau dani tu girl..mesti kuciwa..terlepas sorang bakal menantu ensem..dh la lan pun terlepas..hehe
ReplyDeletebila nk sambung cter ni.dh berbulan2x saye tnggu.huhuhuhu
ReplyDelete