Followers

E-novel mana yg paling korang suka?

Sunday, February 7, 2010

ABN Bab 10

Kay sudah pun memesan sepinggan nasi goreng pattaya dan segelas jus tembikai susu. Dia cuba untuk membuka telinganya seluas yang mungkin. Namun, masih tidak dapat mendengar perbualan di antara Chairil dan Zakwan. Seolah-olah ada rahsia besar yang dibincangkan. Rahsia apa tu? Rahsia negara ke?

Sekali-sekala, kedengaran gelak ketawa mereka berdua. Ini yang tak puas hati ni! Kenapa nak berahsia-rahsia pulak? Ini mesti tengah merancang sesuatu yang tak baik ni! Entah-entah diaorang berpakat nak kenakan aku tak? Kay tidak senang duduk.

Secara senyap-senyap dia menghampiri meja mereka berdua. Zakwan sedang asyik berbisik. Chairil pula mengangguk-angguk kepala. Kay menjenguk kepalanya.

Serentak, dua pasang mata merenungnya dengan tajam. Kemudian, Chairil menjegilkan matanya. Zakwan pula cuba menahan ketawa melihat gelagat Kay.

“Apa kau buat kat sini? Aku suruh kau pergi makan, kan?” Chairil bersuara keras. Cuba menahan dirinya daripada menengking gadis itu di khalayak ramai.

“Bos tengah bincang apa? Nak join jugak.” Kay tarik sengih.

“Apa kena-mengena dengan kau? Pergi main jauh-jauh,” arah pemuda itu.

“Saya tahu! Bos sedang berkomplot nak kenakan saya, kan? Sebab itulah bos halau saya.”

“Menyibuklah kau! Kitaorang sedang berbincang hal lelaki. Takkan kau nak dengar jugak?” marah Chairil lagi.

“Bolehlah, bos. Bolehlah, Abang Wan,” dia memujuk. Bukan apa, dia cuma risau sekiranya apa yang mereka bincangkan ada sangkut-paut dengan dirinya.

Abang Wan? Pandangan Chairil dan Zakwan bertemu. Abang Wan? Ketawa Chairil terburai. Zakwan pula tidak pasti apa perasaannya ketika itu. Hendak turut ketawa atau berlagak biasa?

“Kenapa ketawa? Apa yang kelakar sangat?” soal Kay kehairanan. Rasanya, dia tidak silap cakap tadi.

“Kau panggil dia Abang Wan?” Chairil menyambung ketawanya.

“Apa salahnya? Memang dia tua daripada saya pun.”

“Macam pelik aje aku dengar. Kalau kau cakap dia lebih tua daripada kau, aku pun lebih tua jugak.”

“Habis, bos nak saya panggil bos Abang Chairil ke? Lagilah pelik! Perangai bos tak serupa perangai seorang abang pun!”

Tersedak Chairil dibuatnya. Wajahnya serta-merta berubah menjadi kelat. Sesuka hati mak bapak dia aje nak kutuk aku. Giliran Zakwan pula ketawa.

“Amboi, sukanya dia nak mengatakan aku. Aku ni bos engkau! Kau kenalah hormat sikit. Mana boleh samakan aku dengan si Wan ni.”

“Haa... tengok! Bos sendiri tak suka saya panggil abang. Tadi, cemburu sangat bila orang panggil kawan dia Abang Wan. Tak faham betul!”

“Haaa... tu! Makanan yang kau pesan tu dah sampai. Pergi ke sana. Makan! Jangan nak menyibuk kat sini. Ini hal orang tua-tua. Kau budak-budak, pergi main kat sana.”

Kay mencebik. Dia segera berlalu ke meja sebelah. Nasi goreng pattaya dan jus tembikai susu sudah pun terhidang di atas meja. Dengan perasaan sebal, dia menyuap nasi ke dalam mulut.

“Kelakar betul budak Kay tu. Cute pulak aku tengok. Mana kau jumpa?” soal Zakwan setelah keadaan kembali tenang.

“Papa aku yang jumpa dia. Kadang-kadang, aku rimas jugak dengan perangai dia tu. Keras kepala! Suka menjaga tepi kain orang. Macam tadilah. Lepas tu, suka buat benda ikut suka hati dia aje,” terang Chairil dalam nada tidak puas hati.

“Sesuai sangatlah dengan perangai kau tu. Tapi... kau patut bersyukur. Dia dapat bertahan dengan perangai panas baran kau tu. Aku pun kadang-kadang tak dapat bertahan dengan angin kau yang tak menentu tu.”

“Aik? Kau pun dah nak jadi macam papa aku jugak? Apalah kelebihan budak tu sampai semua orang asyik menyokong dia aje?”

“Itulah kau, Chairil. Kebaikan seseorang itu mana boleh dilihat dengan mata kasar? Kau kena tengok hati budi dia dulu. Mungkin dia seperti yang kau cakap, tetapi bagi aku, dia tetap ada keistimewaannya tersendiri.”

“Aik? Kau dah jatuh cinta pada dia pulak ke, Wan?”

“Takdelah sampai tahap jatuh cinta. Tapi... tak mustahil jika aku katakan suatu hari nanti, mungkin akan berlaku. Siapa tahu? Masa mampu merubah segalanya, Chairil.”

“Ah sudah! Jangan nak melalut lagi. Kita sambung balik perbincangan kita tadi. Kau rasa, kau boleh tolong aku tak?”

“Insya-Allah, aku akan cuba. Tapi... kalau tak jumpa, bagaimana?”

“Itu yang aku sedang pening ni. Susahlah kalau tak jumpa. Majlis tu penting!”

“Susah-susah sangat, kau suruh aje Kay jadi bidan terjun.”

“Kau biar betul?”

* * *

Kay memandang Chairil yang sedang tersenyum sendiri. Sejak bertemu dengan Zakwan tadi, mood pemuda itu berubah secara mendadak. Aik? Dah tak siuman ke bos aku ni? Tersenyum-senyum. Dah termakan pil senyum agaknya?

“Bos nak saya bawa bos ke klinik?” tanya Kay memecahkan kesunyian.

“Kenapa pulak? Aku tak sakit. Kaki aku pun okey,” balas pemuda itu kehairanan.

“Okey ke? Kenapa saya tengok macam tak okey? Are you sureee?” Sengaja dia memanjangkan perkataan terakhir dalam soalannya.

“Kenapa aku dengar soalan kau macam berbaur... mencari fasal?” Dia mengecilkan matanya.

“Eh, mana ada! Buat apa nak cari fasal dengan bos? Tak baik tau, tuduh-tuduh!” jawab Kay sambil cuba menahan ketawanya. Bos ni macam tahu-tahu aje, kan?

“Bukan nak menuduh, tapi... aku dah masak sangat dengan perangai kau tu.”

Aik? Pelik ni! Dia tak melenting. Musykil betul ni! Baik sangat ke mood dia hari ini?

“Bos, kalau saya nak tanya boleh?” Masa inilah nak mengorek. Dia merapatkan dirinya ke tepi pemuda tersebut. Dia menjenguk melihat apa yang dibaca oleh pemuda itu.

“Apa?” soal Chairil sepatah. Matanya masih tertumpu pada bacaannya.

“Kenapa bos happy dua macam selepas jumpa Abang Wan tu? Apa yang berahsia sangat sampai tak nak saya tahu?”

Pemuda itu menoleh laju. Nasib baik bibirnya tidak bertembung dengan kepala gadis itu. Jika tidak, mahu bengkak dibuatnya.

“Apa ni? Pergi duduk jauh-jauh sikit!” Dia menolak Kay ke belakang.

Kay masih berdegil. Sedikit pun dia tidak berganjak dari tempatnya.

“Pergi balik rumahlah! Khidmat kau untuk hari ini dah tamat. Sila pulang. Terima kasih.” Chairil kembali menghadap majalah di tangan.

“Amboi. Halau nampak? Hari ini, dah dua kali bos halau saya. Masuk kali ketiga, saya balik. Esok saya tak nak datang dah!” balas Kay. Dia berpeluk tubuh. Lets see... berjaya tak kata-katanya menggugat pemuda itu?

“Eh eh... banyak songeh pulak budak ni! Ni siapa bos ni? Aku atau kau?” Chairil meletakkan majalah ke meja. Dia berpaling ke arah Kay. Budak ni memanglah tak boleh tengok aku senang.

“Dah sah-sah saya panggil bos, bos. Boleh tanya lagi siapa bos.”

“Habis tu? Yang kau menempek kat sini lagi tu kenapa? Aku suruh kau balik, baliklah!” suara lelaki itu mula meninggi.

Alamak! Mode encik diktator sudah bertukar! Baik aku lari.

“Okey, okey. Saya balik. Nanti tutup pulak hair salon.” Kay bangun. Belum sempat dia melangkah, Chairil menariknya menyebabkan dia terduduk kembali.

“Hair salon? Nak buat apa?” tanya pemuda itu. Jangan kata dia nak potong rambutnya yang kontot tu?

“Nak potong rambutlah. Nak buat apa lagi? Takkan nak pergi makan pulak?” jawab Kay sambil mengerutkan dahi.

“Kenapa? Rambut kau kan pendek lagi? Kau nak botakkan kepala pulak ke?” tanya Chairil lagi.

“Bos... saya tak sukalah rambut panjang-panjang ni. Rimas. Panas. Ni, bos tengok ni, dah panjang!” Dia menarik rambut yang diselit ke belakang telinga.

“Okey aje aku tengok. Barulah nampak macam perempuan sikit. Dah, tak payah nak potong-potong. Biar aje begitu.”

Sekali lagi gadis itu mengerutkan dahi. Bos ni kenapa? Apa kena-mengena rambut aku dengan dia pulak?

“Bos... rambut saya, ikut suka sayalah nak potong ke nak buat apa sekali pun. Yang bos nak halang saya ni kenapa?” luahnya dengan perasaan tidak puas hati.

“Nanti habislah musnah plan aku! Kau kan salah seorang reserved partner aku,” jelas Chairil.

Bagi Kay, itu bukan penjelasan kerana satu pun dia tidak faham. Reserved partner? Apa tu?

“Apa tu, bos? Partner untuk apa tu? Saya termasuk dalam senarai calon bakal isteri bos ke?” Dia menggaru kepala yang tidak gatal. Biar betul?

Tangan Chairil segera bergerak pantas mencari sasarannya. Sekali lagi kepala Kay diketuknya.

“Apa ni, bos? Suka main ketuk-ketuk kepala. Lain kali, kalau nak ketuk, pergilah ketuk pintu. Bukan ketuk kepala orang.” Gadis itu menggosok-gosok kepalanya.

“Yang kau pergi mengarut tu siapa suruh? Aku serius, kau buat lawak pulak. Siapa nak berkahwin dengan tomboy macam kau ni?” marah lelaki itu.

“Bos yang cakap fasal pasangan. Manalah saya tahu. Berbalik kepada soalan saya tadi, pasangan simpanan tu untuk apa?”

Saturday, February 6, 2010

ABN Bab 9

Chairil mengeluh. Sekejap dia berpusing ke kanan. Sekejap ke kiri. Dia resah. Tidak tahu siapa yang dapat menolongnya. Baru minggu lepas doktor berpesan agar tidak banyak berjalan. Sekarang, dia sudah dijemput ke satu majlis penting oleh salah seorang pelanggan syarikatnya. Hendak ditolak jemputan tersebut, nanti apa pula kata pelanggannya? Hendak disuruh abangnya pergi, awal-awal lagi lelaki itu menolak dengan alasan terpaksa menghadiri mesyuarat penting di Kota Kinabalu. Ayahnya pula, sudah tentulah tidak boleh. Orang tua itu sudah pun merancang untuk menunaikan umrah bersama adik-beradiknya minggu depan. Yang tinggal sekarang, hanyalah Chairil.

Yang menjadi masalahnya sekarang, takkanlah dia hendak pergi dengan berkerusi roda? Atau bertongkat? Lagi satu, siapa yang akan menemaninya ke majlis tersebut? Dia yakin, sedikit sebanyak, dia pasti memerlukan bantuan untuk bergerak.

Akhirnya, dia bangun dan bersandar ke kepala katil. Dia mengerling ke tepi. Jam sudah pun menunjukkan pukul sembilan pagi. Bosan pula berkurung di dalam bilik. Dengan bersusah-payah, dia berjaya juga duduk di atas kerusi roda. Dia memutar roda dengan kedua-dua belah tangannya. Pintu bilik di buka dan dia bergerak keluar. Segera dia mengambil lif untuk turun ke tingkat bawah.

Senyap sunyi. Mana semua orang dalam rumah ni? Dia bergerak ke dapur. Mak Som ada di situ sedang mengeluarkan pakaian dari mesin basuh untuk dijemur.

“Mak Som, papa mana?”

Soalannya mengejutkan wanita itu. Mujurlah wanita itu bukan jenis yang cepat melatah. Dia menoleh.

“Papa kamu keluar. Katanya, nak sarapan dengan Tuan Syed,” jawab Mak Som. Tangannya lincah memasukkan pakaian ke dalam bakul.

“Tuan Syed? Tuan Syed mana pulak ni, Mak Som?” Chairil mengerutkan dahi. Pada pengetahuannya, tiada seorang pun kenalan ayahnya bernama Syed.

“Manalah Mak Som tahu. Kamu tanyalah papa kamu sendiri. Kamu nak sarapan, Chairil?” tanya wanita itu. Dia berlalu ke meja makan. Air dan nasi goreng yang dibuatnya tadi sudah pun sejuk.

“Boleh jugak, Mak Som.” Dia hanya memerhati wanita itu memasukkan bekas berisi nasi goreng ke dalam ketuhar gelombang mikro.

“Mak Som dengar, kamu ada mengetuk kepala orang. Betul ke?” Sengaja dia bertanya walaupun sudah tahu.

“Ini mesti Kay yang mengadu pada Mak Som, kan?” Dia mencebik. Nantilah kau Kay! Kau datang sini aje, siap kepala kau aku sekeh!

“Bukan mengadu. Bercerita aje. Kalau Mak Som tak tanya, takdelah dia nak bercerita. Mak Som nak ingatkan kamu. Kay tu perempuan. Layanlah dia sebagai perempuan. Yang kamu ketuk-ketuk kepala dia tu kenapa? Mak Som tak pernah ajar kamu pukul perempuan.” Wanita itu mula berleter.

“Sekeh aje Mak Som. Mana ada pukul. Lagipun, Kay tu tak serupa perempuan. Mak Som sendiri dah tengok bagaimana kelakuan dia. Rambut macam lelaki. Perangai pun... hishhh... memang tak boleh nak dibuat isteri!”

“Chairil, walaupun dia berperangai sebegitu, tak semestinya hati dia macam kamu. Keras macam batu! Sekeras-keras dia pun, masih ada kelembutannya. Masih pandai hormat orang tua. Tak kisahlah pakaian dan fesyen rambutnya macam mana. Yang penting hati... hati yang penting! Pakaian dan sikap boleh diubah. Tapi hati... susah nak berubah. Kalau depan orang tunjuk baik, tapi hati busuk nak buat apa?” sambung wanita itu lagi.

Chairil dah mula menggaru-garu kepala. Mak Som ni kalau dah mula berceramah, tak tahulah bila nak berhenti. Bunyi detingan ketuhar gelombang mikro itu mengejutkan mereka berdua. Mak Som segera mengeluarkan nasi goreng tadi.

“Air ni nak panaskan jugak ke?” tanya wanita tua itu sambil mengangkat teko berisi air Nescafe.

“Takpelah, Mak Som. Biar Chairil buat sendiri. Mak Som pergilah jemur kain tu. Nanti tak kering pulak.”

“Dah bosan dengar nasihat Mak Somlah tu. Chairil, Chairil... bilalah nak berubah perangai kamu tu?” Wanita itu sekadar menggeleng. Segera dicapai bakul berisi pakaian dan berlalu keluar.

Chairil segera mencapai pinggan dan menyenduk nasi goreng. Dia menggaru kepala. Alamak! Mak Som ni... Dia merenung teko. Kemudian, gelas. Bagaimana dia hendak membawa air tersebut ke meja makan? Tumpah nanti! Makan kat dapurlah jawabnya.

* * *

Dia menanti kedatangan Kay dengan sabar. Kata gadis itu, dia akan tiba dalam masa dua puluh minit. Sekarang, setengah jam sudah pun berlalu. Gadis itu masih belum muncul. Dia menguak langsir dan menjenguk ke luar melalui tingkap. Tiada sesiapa pun di luar. Dia mengeluh. Rasa bosan semakin bercambah di dalam dirinya.

Baru sahaja dia hendar beredar dari situ, matanya dapat menangkap suatu objek di luar. Telinganya turut terdengar bunyi enjin motosikal. Dia menjenguk sekali lagi. Kelihatan Kay sedang turun dari sebuah motosikal berkuasa tinggi. Sempat lagi dia bergurau senda dengan lelaki yang menghantarnya. Namun, Chairil tidak dapat melihat siapakah gerangan lelaki itu memandangkan jarak mereka yang agak jauh. Tambahan pula, lelaki itu tidak menanggalkan topi keledarnya.

Kay membuka pintu kecil dengan kunci yang telah diberi kepadanya. Dia menapak masuk ke perkarangan banglo mewah tersebut. Seperti biasa, keadaan senyap sunyi. Rumah punyalah besar, tetapi hanya tiga orang yang menghuni di dalamnya.

Chairil segera bergerak ke ruang tamu. Berpura-pura menonton tv sementara menanti Kay masuk. Wajahnya serius. Kedengaran pintu utama dibuka dan ditutup. Dia masih tidak menoleh.

“Assalamualaikum, bos.”

Dia hanya menjawab di dalam hati. Kemudian, berpaling ke belakang. Kay membuat muka selamba.

“Kenapa lambat? Kau cakap dua puluh minit. Sekarang, dah tiga puluh lima minit! Bermakna, lima belas minit lewat!” pemuda itu menyemburnya.

“Ala bos ni... relakslah. Bukannya bos nak pergi kerja pun. Bos takde janji dengan sesiapa pun, kan?” Kay masih berlagak biasa. Dia menghenyak punggung ke sofa.

Muka memang tak tahu malu betul minah ni! Buat rumah orang macam rumah dia sendiri! Getus Chairil di dalam hatinya.

“Pergi ambil kunci kereta. Kita keluar,” arahnya.

“Kita nak pergi ke mana, bos?”

“Entah.”

Kay berpaling secara spontan. Entah? Dia call aku suruh datang sini semata-mata nak pergi entah? Hish! Kacau daun betul! Elok dah tadi si Samdol nak belanja aku makan.

“Bos jangan nak buat lawak. Saya baru nak makan tadi. Satu suap pun tak sempat tau! Sekarang, bos cakap tak tahu pulak nak pergi ke mana. Bos nak main-mainkan saya ke?” Kay mula berang. Memang kalau diikutkan hatinya, dia sendiri tidak mahu datang ke situ. Hari cuti, sepatutnya dia bercuti. Ini tidak, dipaksa datang hanya untuk melayan kerenah si panas baran.

“Kau mengadu pada Mak Som?” Tiba-tiba Chairil menukar topik perbualan mereka selepas melihat perubahan pada riak wajah Kay.

“Mengadu? Mengadu fasal apa, bos?” Kay menggaru-garu kepalanya. Apa ek?

“Ini buat-buat lupa atau kau dah nyanyuk?” Lelaki itu menjegilkan matanya.

“Serius, bos. Saya tak ingat. Banyak lagi benda yang saya nak kena ingat tau!” Kay tarik sengih.

“Ada satu aje cara nak mengingatkan kau.” Chairil turut tersengih. Tangannya segera mencari sasaran.

* * *

Sekali-sekala mata Zakwan tersasar juga ke arah Kay yang duduk di sebelah sahabat baiknya, Chairil Ammar. Baru dua minggu mereka tidak bertemu, sahabatnya itu sudah mempunyai teman wanita? Biar betul? Tidak pernah pula Chairil bercerita kepadanya. Chairil yang sedang bercerita itu dan ini tidak langsung diendahkan. Otaknya masih lagi cuba meneka siapa gerangan si gadis tomboy yang datang bersama Chairil. Tidak pula diperkenalkan tadi. Tiba-tiba sahaja gadis itu melabuhkan punggung di sebelah Chairil dengan selamba.

“Hei, Wan! Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?” sergah Chairil apabila dilihat rakannya itu asyik memandang Kay. Yang budak Kay ni pun satu! Asyik mengekor aje kerjanya. Aku suruh pergi minum, dia datang menempek kat sini jugak!

“Hah? Apa kau cakap?” tanya Zakwan kembali. Dia terkulat-kulat memandang Chairil di hadapannya.

“Aku bercerita bukan kau nak dengar. Yang mata kau macam nak tersembul tengok Kay tu kenapa?” Dia mula berpeluk tubuh.

“Erm... erm... girlfriend kau ke?” Akhirnya, terluah juga pertanyaan itu.

“Dia ni girlfriend aku? Kau dah rabun ke, Wan? Tak nampak ni?” Chairil menuding ke arah rambut Kay yang disikat dan dirapikan dengan gel rambut.

“Cuba kalau diubah sikit fesyen rambut tu, mesti cun!” balas Zakwan pula.

Kay yang mendengarnya ketawa terbahak-bahak. Aku dikatakan cun? Hish! Rabun tahap petala keberapalah agaknya mamat ni?

“Bro, kalau cakap saya ni macho ke takpelah jugak. Ini cun! Memang lawak!” Dia menyambung ketawanya.

Zakwan hanya mampu membisu melihat kedua-dua insan di hadapannya. Tetapi, sungguh! Dia masih belum rabun lagi. Dia yakin, jika gadis itu berpakaian seperti perempuan-perempuan lain dan menukar gayanya, pasti dia akan kelihatan cantik. Dia yakin dia tidak silap menilai.

“Hei, sudahlah Kay! Kau ambil duit ni, kau pergi duduk sana. Order apa yang kau nak. Aku nak berbincang pun tak senang.” Chairil meletakkan sekeping not sepuluh ringgit di hadapan Kay.

“Hek eleh... halau orang pulak! Bos yang tiba-tiba call saya tadi ajak keluar. Bila dah jumpa kawan, mulalah dia lupakan kita. Macam inilah sekarang...” Kay segera bangun dan mencapai duit yang diberi oleh Chairil. Dia berpindah ke meja sebelah.

“Hei! Aku suruh kau duduk kat sana. Bukan kat meja sebelah!” marah Chairil. Tak faham bahasa betul!

Kay hanya memekakkan telinga. Kalau dia duduk jauh-jauh, bagaimana dia hendak mendengar perbualan mereka? Tak begitu?

Tuesday, February 2, 2010

ABN Bab 8

Suasana pagi itu hening. Tiada sesiapa di banglo mewah itu selain Chairil, Mak Som dan Kay. Kay membuka majalah Kereta yang bertindan di atas meja berhampiran dengan lif. Dia menyelak-nyelak helaian majalah tersebut. Tiada satu artikel pun yang menarik minatnya. Dia lebih gemar membaca majalah berkaitan motosikal berkuasa tinggi.

Dahulu, ayahnya ada menawarkan sebuah kereta untuknya tetapi dia tidak mahu. Buat apalah hendak dibeli kereta jika dia tidak memandunya. Buat membazir sahaja. Sekali-sekala dia menjeling jam di tangan. Jarum pendek sudah pun menginjak ke pukul 9. Chairil masih lagi tidak turun. Selalunya, pukul 7.30 pagi, pemuda itu sudah berada di meja makan. Tetapi, hari ini pemuda itu memintanya datang lambat sedikit.

Apa, dia tak nak pergi ke pejabat ke? Kay kehairanan. Tadi, ketika dia bertembung dengan Mak Som, wanita tua itu kata, Chairil sudah pun bersarapan. Kemudian, terus menghilang ke biliknya.

Dia sudah tidak dapat bersabar lagi. Entah-entah, ada sesuatu yang terjadi di atas? Dia segera masuk ke dalam lif. Sebaik tiba di tingkat dua, kelihatan Chairil sedang duduk termenung di atas kerusi rodanya di balkoni. Dia hanya memakai jeans dan kemeja T. Pelik. Hari ini kan hari Khamis? Cuti ke orang tua ni? Kay segera menghampiri pemuda itu.

“Jauh termenung?” tegurnya.

Chairil menoleh. Kemudian, kembali memandang ke depan. Masih membisu. Dia seolah-olah tidak mahu melayan pertanyaan gadis itu.

“Bos tak nak pergi kerja ke? Dah lewat ni,” tanya Kay. Dia duduk bersila di sebelah kerusi roda pemuda tersebut.

Sejak insiden selepas pulang dari hospital tempoh hari, pemuda itu mula menggunakan semula kerusi roda. Tetapi, dia masih berkeras hendak menggunakan tongkat sekiranya hendak ke pejabat. Dia bersetuju menggunakan kerusi roda jika berada di rumah sahaja. Dalam hati Kay mengutuk, degil! Orang fikir untuk kebaikan dia, dia pula fikir untuk ego dia! Katanya, tak mahu dipandang lemah. Kay sendiri tidak faham maksud sebenar pemuda itu. Sakit tidak semestinya lemah!

“Bos? Are you okay?” tanya Kay lagi. Sudah puas dia menunggu tetapi pemuda itu seolah-olah tidak mahu berganjak. Apa kena dengan orang tua ni?

“Aku okey. Boleh tak kalau kau tolong diam?” suara Chairil mula meninggi.

Tengoklah tu! Orang tanya elok-elok, dia mula nak melenting. Nak emotional. Emosi tak stabil! Lebih daripada perempuan pulak.

Kay bangun. Dia menapak ke tangga. Malas hendak menggunakan lif. Sekali-sekala menggunakan tangga pun ada baiknya.

“Kay,” panggil pemuda itu akhirnya. Langkah Kay mati.

“Hmm?”

“Ambilkan tongkat aku di dalam bilik,” arahnya. Dia memutar roda kerusi dengan kedua-dua belah tangannya dan menghilang di sebalik pintu lif.

Kay segera mencapai tongkat dan beg bimbit pemuda itu. Dia berlari menuruni tangga. Sebaik sahaja tiba di tingkat bawah, pemuda itu sudah sedia menunggu di ambang pintu. Kunci kereta diambil dan dimasukkan ke dalam kocek.

“Bos nak pergi ke pejabat macam ni ke?” soalnya sebaik berada di sebelah pemuda itu. Dia memerhati pemuda itu atas bawah.

“Kenapa? Tak boleh? Aku bukannya ada mesyuarat pun hari ni,” jawab pemuda itu dengan kasar.

Elok sangatlah tu, kalau tak menjerit, percakapannya sentiasa kasar. Tak pernahnya nak berlembut dengan aku. Dengan Kak Murni tu, boleh pulak dia control volume suara dia! Apalah nasib aku dapat bos macam ni? Haih...

“Yang kau tercegat kat depan pintu tu kenapa? Cepatlah! Tongkat aku!” Sergahan Chairil membuatkan Kay segera tersedar. Dia menghulurkan tongkat yang dipegangnya kepada pemuda itu dan segera menahan kerusi roda tersebut bagi memudahkan pemuda itu bangun.

Dengan pantas, dia membuka pintu kereta dan melompat masuk ke dalam. Enjin kereta dihidupkan. Sebaik lelaki itu menutup pintu, Kay memecut kereta.

“Bawa aku pergi ke tempat yang tinggi. Bukit ke, gunung ke, aku tak kisah,” tiba-tiba Chairil bersuara sebaik melihat Kay memberi isyarat untuk membelok ke kanan, jalan menuju ke pejabatnya.

“Hah? Nak buat apa? Bos nak bunuh diri ke?” tanya Kay terkejut.

“Aku sekeh kepala kau nak?” marah pemuda itu.

“Habis, tiba-tiba aje. Takde angin, takde ribut, bos nak pergi tempat tinggi. Kalau nak bunuh diri, saya bawa bos pergi ke KLCC. Boleh ambil video sekali.”

“Kau ni...! Memang tak sayang mulut!” Chairil meluku kepala gadis itu.

* * *

Kay mengipas dengan surat khabar. Sambil itu, matanya tidak beralih dari memandang pemuda di hadapannya. Pemuda itu sedang duduk menikmati pemandangan sekeliling tanpa bersuara.

Kay mula naik bosan. Sudah hampir dua puluh minit mereka di situ. Matahari sudah meninggi. Panas! Kalau pagi-pagi berjemur takpe jugak! Ada jugak vitamin D. Ni dah dekat pukul sebelas. Berbahang lagi adalah! Hish... tak faham aku dengan orang tua ni! Kot ya pun nak tengok pemandangan, tunggulah petang sikit. Boleh jugak tengok matahari terbenam. Dia meneruskan kipasannya.

“Bos ni asyik layan blus aje. Teringat buah hati pengarang jantung ke?” soal Kay memecah kesunyian.

“Kau pernah bercinta?” tanya pemuda itu kembali. Sah! Teringat kekasih. Jiwang 80 karat betul bos aku ni!

“Tak pernah,” jawabnya pendek.

“Habis tu? Mana kau tahu aku teringatkan buah hati ke, buah pinggang ke, buah da...am ke?” kata-kata Chairil terhenti di situ. Ops! Bahaya. Nanti ada pulak orang yang sensitif!

“Bos ni otak kuninglah! Memanglah saya tak pernah bercinta. Tapi... abang-abang saya dulu macam boslah bila bercinta. Termenung sana, termenung sini.”

“Itu diaorang. Ini aku. Aku nak tenangkan fikiran. Tak boleh? Yang kau tiba-tiba nak ambil berat tentang aku ni kenapa? Dah tangkap cintan dengan aku ke?” Sempat lagi dia mengusik Kay.

“Hish... bos ni. Kot ya pun, agak-agaklah. Siapalah manusia malang yang hendakkan bos?” Kay ketawa terkekeh-kekeh. Suka dia dapat mengutuk pemuda itu.

“Amboi, gurau kasar nampak? Mentang-mentanglah aku tak jadi berhentikan kau kerja.” Wajah Chairil berubah serius.

“Sorry, bos. Bos marah ke? Kalau marah, nanti kena jual!” Kay ketawa lagi.

“Sebelum kau jual aku, aku jual kau dulu. Mari ke sini! Aku nak luku kepala kau lagi sekali.” Pemuda itu bangun. Namun, dia tidak mampu hendak mengejar gadis itu memandangkan keadaan kakinya yang masih belum sembuh.

“Kejarlah kalau boleh...” Dia segera berlari masuk dalam kereta. Duduk dalam kereta best sikit! Ada penghawa dingin. Kenapalah dia begitu dungu mengikut pemuda itu berjemur? Nanti hitam legam, siapa pun tak nak masuk meminang!

Tidak berapa lama kemudian, Chairil turut berada di dalam kereta. Dia mengambil kesempatan itu untuk menyekeh kepala Kay buat kali kedua.

“Bos ni, tak baik tau main kepala. Nanti ilmu keluar.” Kay mencebik.

“Ilmu apanya? Ilmu mengutuk aku? Baguslah kalau keluar. Biar keluar banyak-banyak. Takdelah sakit telinga aku nak mendengar.”

Kay tersengih. “Bos pun apa kurangnya?”

“Kenapa pulak dengan aku?” Chairil segera menoleh. Dia merenung tajam gadis di sebelahnya.

“Biar saya sekeh kepala bos pulak. Moga-moga habis keluar angin panas baran bos tu.” Dia sengih lagi.

* * *

Hari ini, tiga kali kepala diketuk oleh lelaki itu. Nasib baik ketukannya tidak kuat. Jika tidak, mahu masuk hospital bahagia dibuatnya.

“Kay, kenapa Mak Som tengok sejak tadi asyik menggosok kepala aje? Kamu terhantuk ke?” soal Mak Som yang datang membawa segelas air sirap. Wanita tua itu meletakkannya di hadapan Kay.

“Takdelah, Mak Som. Kena ketuk aje.” Dia tarik sengih.

“Hah? Siapa pulak yang mengetuknya? Si Chairil tu?” tanya wanita itu terkejut.

“Siapa lagi, Mak Som? Takkan Dato’ pulak?”

“Dah melampau budak Chairil ni. Ingatkan suara aje naik, ini tangan pulak yang naik. Mak Som tak pernah ajar dia memukul orang, tambah-tambah lagi perempuan,” dia mula membebel.

“Mak Som, relaks, relaks. Sikit aje. Bukan sakit sangat pun.” Kay cuba menenangkan wanita itu. Ter’over’lah pulak Mak Som ni. Aku okey aje, dia pulak lebih-lebih.

“Sikit-sikit lama-lama berjangkit, Kay. Sekarang, tangan. Nanti, silap haribulan, berjangkit ke tongkat. Tongkat pulak naik ke kepala kamu tu!”

Kay hanya mampu tersengih. Tidak tahu hendak membalas apa. Ada betul juga kata wanita itu. Dibuatnya si diktator tu naik minyak, mampus aku dibelasah dengan tongkatnya! Silap-silap aku pulak masuk hospital. Hishhh... tak boleh jadi ni!


p/s : Harap-harap korang tak meniru segala perangai tak elok Kay & Chairil. Hehehe... ^_^

Sinopsis Watak-watak dalam ABN

Kay (Syarifah Kartika)

Dia dibesarkan tanpa kasih sayang seorang ibu. Hidupnya hanya dikelilingi oleh kaum Adam sejak dia kecil lagi. Sedikit sebanyak, ia mempengaruhi cara pemikirannya. Melihat abangnya menunggang motosikal berkuasa tinggi, dia juga mahu memilikinya. Melihat abangnya berlumba, dia juga ingin mencuba. Apa jua yang dilakukan, abang-abangnya menjadi idola.

Dia sedar dia tomboy. Dia sedar dia kasar. Dia tidak pernah kisah apa yang orang kata. Namun, jauh di sudut hatinya, dia mahu orang faham akan kehendaknya. Dia hanya mahu mencari keseronokan. Sesuatu yang mampu mengisi kekosongan di ruang kasih seorang ayah, kasih seorang ibu. Jika ayahnya sibuk dan tidak dapat meluangkan masa untuknya, tidak salah jika dia mengisinya dengan cara lain.

Sejak bekerja dengan Chairil, dia berasa hidupnya semakin bermakna. Pemuda itu mewarnai hari-hari yang dilaluinya. Sehari tidak bertekak, terasa seperti ada sesuatu yang kurang. Dan yang paling penting, apabila mereka bersama, she lets her guard down!

Chairil (Chairil Ammar)

Dia angkuh. Dia panas baran. Dia juga keras kepala. Pantang orang melanggar arahannya. Bersiap sedialah menadah telinga! Perangainya semakin menjadi-jadi sejak dia terlibat dalam satu kemalangan yang menyebabkan kecederaan yang agak teruk pada kaki kanannya. Salah satu cara melepaskan perasaan : tengking orang! Puas hatinya! Sudah lima orang pemandunya berhenti kerja dengan rela hati akibat tidak tahan dengan kerenahnya. Hanya Kay yang mampu bertahan sehingga ke saat akhir.

Dia sungguh tidak berkenan dengan perangai Kay! Kata orang, tidak sebulu! Pantang sungguh dia melihat seorang gadis berperangai seperti lelaki! Kalau dah perempuan tu, perempuan jugak! Buatlah macam mana pun, masih tak dapat mengubah lumrah kejadian!

Walau bagaimanapun, satu yang dia suka tentang Kay. Gadis itu mampu bersabar dengan kerenahnya. Tidak mudah berputus asa. Masih mampu melayan segala permintaan yang kadang-kala dia sendiri rasa tidak munasabah. Mungkin gadis itu mempunyai pengalaman pahit yang dikubur di dalam hati? Nanti dia korek!

Joe (Syed Johan)

Abang yang sentiasa menyokong Kay. Yang senantiasa membantu adiknya jika terdaya. Juga yang membawa pengaruh yang besar dalam hidup Kay. Kerana perbezaan umur mereka yang tidak begitu ketara, mereka sangat rapat. Pernah satu sekolah dengan Chairil. Tidak begitu menyenangi sikap Chairil yang angkuh dan panas baran. Walau bagaimanapun, dia yakin Kay mampu berhadapan dengan pemuda itu.

Shamsul (Samdol)

Sahabat baik Joe dan Kay. Dia menyimpan perasaan terhadap Kay. Kalau boleh, dia mahu Kay menerima perasaannya. Dia tahu, Kay, nampak sahaja keras kepala, kasar. Tetapi hatinya... masih seperti gadis-gadis yang lain. Baginya, Kay umpama durian. Kulitnya berduri, tetapi isinya... amat lembut. Oleh sebab itulah, seboleh-bolehnya, dia mahu cuba untuk melindungi gadis itu. Dia tidak kisah jika dia bertepuk sebelah tangan. Yang dia pasti seratus peratus, dia sanggup melakukan apa sahaja asalkan Kay bahagia.

(Kay : Hei, Samdol! Ada ke patut samakan aku dengan durian? Aku tak suka durian tau! ^_^)

Sunday, January 31, 2010

ABN Bab 7

Sekali lagi dia menjejakkan kaki ke banglo mewah itu. Kereta Dato’ Kamaruddin tiada di situ, bermakna orang tua itu sudah ke pejabat. Mengapa dia membuat keputusan untuk terus bekerja di situ, dia sendiri tidak pasti sedangkan mengikut perancangan asal, dia terpaksa mengikut kata-kata Chairil.

Betulkah tindakan yang diambilnya? Mengapa dia perlu menarik balik kata-katanya hanya kerana wang. Mata duitankah dia? Tidak! Dia bukan mata duitan! Keadaan yang memaksanya berbuat begitu.

Dia meneruskan langkah masuk ke dalam rumah. Seperti biasa, pintu utama tidak berkunci untuk memudahkan Kay masuk. Mungkin awal-awal lagi Dato’ Kamaruddin sudah berpesan kepada Mak Som agar tidak mengunci pintu.

Matanya melilau. Cuba untuk mengesan di mana Chairil berada. Dia segera merapati pemuda tersebut.

“Mak Som, teksi dah sampai ke?” soal Chairil apabila mendengar bunyi tapak kaki seseorang menghampirinya. Dia masih duduk di sofa membelakangi Kay.

“Teksi dah sampai,” ujar Kay sambil cuba meniru cara percakapan Mak Som.

Chairil segera menoleh. Dia cam benar suara itu! Suara gadis yang telah dipecatnya semalam!

“Kay! Apa kau buat di sini?” Dia benar-benar terperanjat melihat Kay berada di sebelahnya sambil tersengih.

“Entah,” jawab Kay sambil mengangkat bahu.

“Bukan ke aku dah berhentikan kau semalam?” soal Chairil lagi.

“Memanglah. Saya datang ni pun nak tuntut gaji saya. Lepas tu, saya baliklah. Bos pun tak suka saya terus jadi driver bos, kan?” Dia duduk di sebelah pemuda itu dengan selamba.

Budak ni...! Tadi kata entah, sekarang nak tuntut gaji pulak! Apa dia ingat dia dah lama bekerja dengan aku ke?

“Kau baru aje kerja. Tak sampai seminggu pun lagi. Mana ada gaji!” bantah Chairil. Ayahnya sudah lama pergi ke pejabat. Jadi, kalau Kay mahu menuntut gaji, mestilah dia yang akan membayarnya.

“Dato’ cakap saya boleh datang ambil gaji. Apa bos ingat free ke perkhidmatan saya selama ini? Hari-hari terpaksa mendengar tengkingan bos tau! Kalau tak berbayar, takdenya saya sanggup bertahan dengan kerenah bos.” Seronok jugak boleh mempermainkan si diktator ni. Dia tersenyum.

“Berapa?” tanya Chairil dengan kasar. Dia segera mengeluarkan buku cek dari kotnya.

“Sepuluh ribu!” jawab Kay sambil menayang kesepuluh jarinya.

“What? Kau gila? Mana ada pemandu yang bekerja selama 4 hari dapat sepuluh ribu!” Chairil mula meninggikan suaranya.

“Ada. Saya.” Kay mengangkat tangan seolah-olah hendak menjawab soalan di dalam kelas.

Tangan Chairil dengan pantas menulis cek berjumlah sepuluh ribu tetapi tidak pula dia menandatangani cek tersebut. Dia menghulurkan cek tersebut kepada Kay sambil tersenyum penuh makna.

Kay seolah-olah tidak percaya dengan apa yang berlaku ketika itu. Si diktator menyerahkan cek bernilai sepuluh ribu ringgit kepadanya? Biar betul? Dia segera menarik cek tersebut tetapi Chairil masih memegang bahagian hujung cek itu dengan kemas.

“Terima kasih, bos. Baik hati betul bos hari ini.” Kay cuba menarik cek tersebut lagi sekali.

Pemuda itu menggoyangkan jari telunjuknya sambil tersenyum kambing. Kali ini, biar dia pula yang mengenakan gadis itu. Ingat dia bodoh? Tidak mungkin ayahnya sanggup membayar Kay dengan jumlah sebanyak itu. Ayahnya masih waras lagi! Dia juga masih waras!

“Apa ni, bos? Tadi, nak kasi. Sekarang, tak nak pulak!” Orang tua ni sengaja nak main-mainkan aku ke?

“Kalau kau nak, kau kena hantar aku ke hospital.”

“Eleh... bos cakap ajelah yang bos nak saya terus bekerja dengan bos. Tak payahlah nak guna cek tu sebagai alasan untuk suruh saya hantar bos ke hospital,” tempelak Kay.

Chairil mengetap bibir menahan geram. Apa sahaja yang dilakukannya langsung tidak menggugat gadis itu. Malah, dia pula yang menerima sindiran.

“Sebenarnya kau datang ke sini sebab papa aku yang suruh, kan?” Dia segera menukar topik perbualan.

“Memanglah Dato’ ada suruh saya datang. Tapi... kalau nak diikutkan keputusan yang saya dapat, saya sepatutnya tak boleh datang ke sini lagi,” jelas Kay.

Chairil tercengang. Keputusan? Keputusan apa pulak? Budak Kay ni dah tak betul ke?

“Bos nak tahu? Semalam, tiga kali saya cuba. Ketiga-tiga kali jugaklah saya dapat ekor!” sambung Kay.

“Tiga kali cuba? Dapat ekor? Ekor apa? Ekor biawak?” Bahasa apa pulaklah yang budak ni guna? Haih!

“Syiling. Saya lambung syiling. Kalau saya dapat kepala, saya datang. Kalau saya dapat ekor, saya berhenti. Tiga kali dapat ekor. Tapi... tak tahulah kenapa saya datang jugak hari ini,” jelas Kay sambil tersengih.

“Sebab kau tu mata duitan! Ada ke patut minta sepuluh ribu?” Dia menarik tongkatnya dan bangun. Perlahan-lahan dia melangkah. Kay hanya memerhati.

“Kau tunggu apa lagi? Cepatlah ambil kunci kereta! Aku ada temu janji dengan doktor ni!” Chairil berhenti dan menjeling kepada Kay.

“Betul bos nak saya kerja semula dengan bos?” tanya Kay dengan riang. Dia segera menghampiri lelaki itu.

Pemuda itu meneruskan langkahnya dengan wajah serius. Dia membiarkan soalan Kay sepi tidak berjawab.

“Betul ni?” soal Kay lagi. Dia menjengukkan kepala betul-betul di hadapan pemuda itu membuatkan langkah Chairil terhenti kerana terkejut.

Budak ni memang nak kena ketuk kepala dengan tongkat aku agaknya! “Kay!” jeritnya.

Kay mengeras. Ops! Si diktator dah marah. Dia tersengih dan menayang tanda peace sebelum berlari keluar.

* * *

“Macam mana?” soal Kay sebaik Chairil keluar dari bilik doktor. Seperti biasa, wajah pemuda itu sentiasa serius. Susah betul hendak melihat senyuman ikhlas darinya.

“Macam mana apa?” tanya Chairil sedikit kasar.

“Encik!” panggil seorang doktor. Kay segera menoleh ke belakang.

“Doktor panggil saya ke?” soalnya.

“Ya. Maaf, saya tak tahu yang awak ni perempuan. Boleh kita bercakap sebentar?” tanya doktor itu sambil menggamit memanggil Kay.

Kay berpaling kembali ke arah Chairil. Jelas terpamer di wajah keruh pemuda itu perasaan tidak senangnya. Dia serba salah. Namun, kakinya melangkah juga ke arah doktor tersebut. Dia mengikut doktor muda itu masuk ke dalam bilik.

“Duduklah. Cik ni ahli keluarga Encik Chairil Ammar ke?” soal doktor tersebut.

Kay hanya menggeleng. “Tapi... kalau ada apa-apa yang penting, doktor boleh beritahu saya. Nanti saya sampaikan kepada Dato’ Kamaruddin.”

“Begini, saya rasa ada baiknya jika Encik Chairil terus menggunakan kerusi roda sehingga dia betul-betul sembuh. Saya tengok, Encik Chairil seperti terlalu memaksa dirinya untuk berjalan. Ini boleh melambatkan proses penyembuhannya. Seelok-eloknya, biarlah kakinya sembuh secara perlahan-lahan. Saya harap cik faham. Apa yang saya katakan ini adalah demi kebaikan Encik Chairil sendiri. Jika dia terlalu memaksa, nanti dia sendiri yang terpaksa menahan kesakitan. Saya harap cik dapat memujuk Encik Chairil,” terang doktor itu.

“Baiklah, doktor. Saya faham. Nanti saya akan sampaikan kepada Dato’.” Kay segera bangun dan berjabat tangan dengan doktor tersebut sebelum berlalu keluar.

Chairil sedang duduk termenung. Mungkin sedang memikirkan kata-kata doktor tadi. Kay menghampirinya.

“Bos, jom balik.”

Chairil bangun tanpa sepatah kata. Dia meneruskan langkahnya tanpa berpaling sekali pun ke arah Kay. Sehinggalah mereka berada di dalam kereta, dia masih tidak mahu bercakap.

“Bos nak pergi ke pejabat atau pulang ke rumah?” tanya Kay. Dia menjeling Chairil di sebelah. Pemuda itu seolah-olah sudah tenggelam dalam fikirannya.

“Bos!” panggil Kay lebih kuat. Chairil segera menoleh.

“Apa? Kau ni kalau tak jerit sehari tak boleh ke?” bentak pemuda itu.

Aik? Dia yang tiap-tiap hari terjerit-jerit boleh pulak! Dia memandu menuju ke pejabat. Malas hendak bertanya lagi.

“Bos ni kenapa? Saya tanya elok-elok, bos nak marah-marah. Saya tahulah bos tengah sedih. Doktor tu dah terangkan segala-galanya kepada saya. Bos ikut ajelah cakap doktor tu. Kan senang? Untuk kebaikan bos sendiri jugak!” balas Kay.

“Kenapa kau nak menyibuk hal aku? Kau jaga tepi kain kau sendiri sudahlah! Perangai kau yang tak serupa perempuan tu, ada aku kisah? Aku tak cakap apa-apa pun, kan? Jadi, kau buat hal kau, aku buat hal aku!” bentak Chairil.

“Eh? Apa kena-mengena kelakuan saya dalam hal ni pulak? Kita sedang bercakap fasal kaki bos. Bukan fasal perangai tomboy saya!” bantah gadis itu. Bos ni dah sakit jiwa agaknya?

“Dah perempuan tu buat cara perempuan! Agaknya, kau jadi begini disebabkan mak bapak kau tak pernah ajar bagaimana nak berkelakuan seperti seorang perempuan!” tambah pemuda itu lagi. Sedikit sebanyak, dengan cara itu dia dapat melepaskan tekanan dan rasa kecewanya sejak mendengar berita daripada doktor tadi.

Berdesing telinga Kay mendengarnya. Pedas juga kata-kata Chairil tadi. Ni kenapa nak kaitkan mak bapak dalam perkara ni pulak? Dia menoleh ke arah pemuda itu dan menghadiahkan renungan tajam. Dia segera memberi isyarat dan membelok ke tepi. Enjin kereta dimatikan.

“Bos pandu sendiri ke pejabat!” Kay membuka pintu kereta dan melompat turun. Hari ini, dia benar-benar hilang sabar! Kata-kata pemuda itu memang tidak boleh diterima oleh pendengarannya. Dia tidak kisah jika Chairil memperlekehkan dirinya. Tetapi... jika sudah masuk bab ibu bapanya, dia memang tidak boleh bersabar lagi!

Chairil terlopong. Selalunya Kay tidak sesensitif hari ini. Tidak kisahlah apa yang diucapnya, gadis itu terima sahaja. Paling teruk pun, dia akan membalas dengan kata-kata sinis. Tetapi, hari ini... Apa sudah terjadi? Tadi, dia yang terlebih emosi. Sekarang, Kay pula? PMS ke?

Kay mengorak langkah. Membiarkan Chairil yang masih berada di dalam kereta. Dia segera menahan sebuah teksi. Mujurlah mereka berada di kawasan yang mudah untuk mendapatkan teksi. Jika tidak, mahu tercabut kaki dia hendak menapak pulang.
Alamak! Siapa nak pandu kereta ni? Siapa nak hantar aku ke pejabat? Kay! Chairil mula menggelabah.

“Kay! Janganlah buat aku begini! Kay! Siapa nak hantar aku? Kay...!” jerit Chairil dari dalam kereta.

Kay tidak langsung mengendahkan pemuda itu. Dia membuka pintu teksi tersebut. Biarlah dia diberhentikan kerja lagi sekali, asalkan dia tidak sakit hati. Kesabarannya juga ada batasnya. Selagi pemuda itu tidak memohon maaf, jangan harap dia akan kembali.

“Cik, cik nak naik ke tak nak?” tanya pemandu teksi itu apabila melihat Kay masih lagi tercegat di tepi pintu.

“Kay! Aku minta maaf!” laung Chairil sebelum sempat gadis itu menutup pintu teksi.
Kay tersenyum sumbing. Tahu jugak si diktator tu meminta maaf ek? Baru dia tahu siapa Kay! Dia tak tahu langit tu tinggi ke rendah.

“Maaf ya, bang. Saya tak jadilah. Bos saya ada tekanan perasaan tu. Nanti kalau saya tinggalkan dia, entah apa pulak yang terjadi. Maaf ya.” Dia segera melompat keluar dan melangkah ke arah Chairil. Dia membuka pintu kereta.

“Boleh ulang sekali lagi tak, bos? Saya tak dengarlah tadi. Jauh sangat.” Kay meletak tangan ke belakang telinganya.

“Aku minta maaf...,” tutur Chairil perlahan.

“Apa bos? Tak dengarlah. Pendengaran saya ni dah terbiasa dengan jeritan dan tengkingan orang ni. Sebab itulah kalau bos cakap perlahan sangat, saya tak dengar,” ujarnya sinis.

“Aku minta maaf!” jerit Chairil. Kay tersenyum kemenangan.

p/s : entri terakhir utk bulan Januari. Mulai esok saya dah mula sibuk. Jadi, tak dapat nak update blog seperti biasa. InsyaAllah saya akan cuba update seminggu sekali. Nantikan n3 seterusnya. Jangan lupa tinggalkan komen ~

Terima kasih kerana sentiasa menyokong saya. Komen-komen korang amat saya hargai. Di sini saya ingin memohon maaf jika ada terkasar bahasa, yang membuatkan korang tersinggung. Harap-harapnya takdelah. Maaf juga kerana tak dapat nak meng'update' blog selalu. Walau apapun, harap korang semua terhibur dengan karya saya.

Kepada sesiapa yg ada Facebook, jangan lupa add saya sebagai kawan korang ya!

Wassalam...

Kepada sesiapa yg ingin menghubungi saya, korang boleh tinggalkan mesej di FACEBOOK saya.